Pengikut

Jumaat, 18 Januari 2008

SEJARAH TULISAN BUGIS

Wujudnya tulisan/huruf/aksara Bugis tidak terlepas dari perkembangan sejarah tamaddun suku-suku yang mendiami Kepulauan Nusantara Melayu seperti suku kaum Jawa yang mempunyai huruf/aksara sendiri iaitu Tulisan Kawi dan Tulisan Jawa. Juga terdapat Tulisan Bali yang digunakan oleh suku kaum Bali di Pulau Bali.

Memperkatakan mengenai Tulisan Huruf/Aksara Bugis ini, sesungguhnya tidak banyak yang kita ketahui tentang sejarah asal-usulnya. Wujudnya dipercayai bermula kira-kira pada Abad ke12 Masehi iaitu pada zaman masuknya pengaruh tamaddun Hindu di Gugusan Kepulauan Nusantara yang meliputi kawasan yang luas sehingga ke Wilayah Pulau Sulawesi atau mungkin juga selepas itu.

Apa yang jelas diketahui ialah pada Abad ke13 Masehi, pengaruh tamaddun Islam sudah bertapak di Kepulauan Nusantara termasuk Wilayah Pulau Sulawesi. Pengaruh Islam pastinya membawa masuk tulisan Arab, yang kemudiannya menimbulkan pula tulisan Jawi yang digunakan khas untuk Bahasa Melayu hinggalah sekarang.

Selepas itu, para Budayawan sependapat bahawa tulisan Bugis sudah lama wujud sebelum wujudnya tulisan Jawi. Pendorong utama cerdik pandai Bugis mencipta huruf/aksara Bugis ada hubungkainya dalam usaha mencatat karya-karya sejarah tamaddun Bugis dengan:-
  • Asal usul dan salasilah keturunan Raja-raja, khususnya Kerajaan Luwuk, Kerajaan Bone, Kerajaan Gowa, Kerajaan Wajo, Kerajaan Soppeng dan Kerajaan Sidenreng.
  • Hukum-hukum, peraturan-peraturan dan adat lembaga.
  • Cerita-cerita rakyat, metos dan cerita legenda.
  • Seni budaya dan sastera.
  • Sistem pemerintahan raja.
TRADISI DAUN LONTAR ATAU LONTARA.
Pada awal kewujudannya hingga melalui masa yang panjang, tulisan/huruf/aksara Bugis digunakan secara meluas dengan menukilkannya di atas kepingan-kepingan Daun Lontar. Setelah teknologi cipta berkembang dan kertas dihasilkan, maka tulisan Bugis digunakan secara lebih meluas lagi di dalam bentuk buku-buku, majalh, risalah, surat dan sebagainya.

TULISAN/HURUF/AKSARA-BUGIS
Seperti juga bentuk aksara yang wujud di dunia, aksara Bugis juga mengalami proses perubahan. Sebelum ini aksara Bugis dikenali sebagai Tulisan Bugis Kuno. Bentuk asasnya sama sahaja bentuk tulisan Bugis sekarang. Bahasa Bugis juga adalah pendukung Tulisan Bugis Kuno yang dikenali dengan nama Bicara Ugi To Riolo.

Cerdik pandai, cendikiawan dan budayawan Bugis yang termasyur di zaman dahulu, yang dikaitkan dengan tradisi penggunaan Bahasa dan Aksara Bugis ialah:-
  • Kajao Lalliddo Tosuale di Kerajaan Bone;
  • Puang Ri Maggalatung di Kerajaan Wajo;
  • Arung Saotanrae La Tiringeng Totaba di Kerajaan Wajo;
  • Arung Bila La Wadeng di Kerajaan Soppeng;
  • Macca E (To Macca E) atau To Ciung di Kerajaan Luwu;
  • Nenek Mallomo di Kerajaan Sidenreng; dan
  • Botolempangang di Kerajaan Gowa.
Di bawah ini diturunkan huruf/aksara Bugis yang digunakan secara meluas, bukan sahaja di tanah asal suku kaum Bugis (Pulau Sulawesi), bahkan tersebar ke Kepulauan Nusantara seperti berikut:-
  • Persisiran Timur Pulau Sumatera
  • Persisiran Pulau Kalimantan
  • Penempatan suku Kaum Bugis di Negeri Sabah
  • Kepulauan Riau dan Negeri Johor
  • Penempatan di mana sahaja koloni Bugis bermastautin.**
Aksara Bugis berjumlah 23 huruf atau lambang. Lambang-lambang ini berbentuk asal empat segi, yang juga dikenali sebagai "Hurufu Massulapa' Eppa".



Walaupun lambang nombor tidak wujud dalam Tulisan Bugis, tetapi angka dari tulisan Rumi atau Angka Jawi digunakan sebagai lambang nombor atau angka tulisan Bugis.

Sesungguhnya Tulisan Bugis dan Bahasa Bugis pada hakikatnya menjadi sebahagaian dari warisan Sastera Bahasa dan Budaya Melayu dalam konteks Bangsa Melayu Serumpun Nusantara.

**India adalah pengeksport kain sarung Cap Gunung. Dalam setiap lipatan kain sarung tersebut terdapat risalah yang mengandungi Tulisan dan Bahasa Bugis-sipatuo.

Petikan dari: Selayang Pandang Sejarah Tulisan Bugis, Tuan Haji Andi Rakib Abbas

Tiada ulasan:

Mabbaca Al-Qur'an secara online. Ta klik iyewe : AL-QUR'AN
Beli Tafsir Al-Quran per kata.