Pengikut

Sabtu, 2 Mei 2009

Johor kumpul sejarah masyarakat Bugis

Saya baru terima sebuah emel yang dikirimkan oleh sdr Shukor melalui kecapi@yahoogroup.com. Sukacita ingin saya kongsikan di blog ini untuk tatapan pengunjung khususnya sompu ogi'ku. Emelnya:

JOHOR BAHRU 28 April - Kerajaan negeri berjaya mengumpul 10 dapatan hasil daripada projek Tinjauan Kerja Berkaitan Pemugaran dan Pendokumentasian Bugis di Sulawesi Selatan, Indonesia baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor, Asiah Md. Ariff berkata, antara dapatan yang menakjubkan hasil tinjauan selama enam hari itu ialah Tanah Melayu dan Johor khasnya berperanan menyebarkan Islam di wilayah itu.

Menurutnya, ia dapat dibuktikan dengan penyebaran Islam melalui pusat Kerajaan Tanete yang kini dikenali Kabupaten Barru pada abad ke-15.

"Satu lagi dapatan yang mengejutkan, terdapat bukti-bukti penghijrahan masyarakat Bugis dari Tanah Melayu ke Sulawesi Selatan melalui pusat Kerajaan Kabupaten Barru.

"Penghijrahan itu berlaku setelah Melaka ditewaskan Portugis pada 1511 dan dalam hal ini saya minta satu kajian secara teliti dilakukan bagi mendapatkan fakta, data dan bukti sejarah selanjutnya, " katanya.

Asiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata demikian pada sidang akhbar mengenai hasil Tinjauan Kerja Berkaitan Pemugaran dan Pendokumentasian Bugis di Sulawesi Selatan, Indonesia yang diadakan selama enam hari mulai 1 April lalu.

Seramai 30 pegawai dan kakitangan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang diketuai oleh beliau telah berkunjung ke wilayah itu bertujuan mendokumentasikan perkara-perkara berkaitan sejarah, adat, budaya dan kesenian masyarakat Bugis di wilayah itu.

Asiah berkata, tinjauan ke Daerah Palopo yang merupakan Kerajaan Raja Luwu juga berjaya menjejaki asal usul lima Bugis bersaudara iaitu Daeng Merewah, Daeng Perani, Daeng Chelak, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi.

Sehubungan ini, katanya, penulisan semula mengenai lima Bugis bersaudara dan rentetan sejarah mereka di tanah Bugis dan Tanah Melayu khususnya di Kesultanan Johor dan Selangor perlu direalisasikan dalam masa terdekat.

Katanya, dapatan agak penting ialah mengenai bentuk seni bina rumah tradisional di Makassar Parepare, Palopo/Luwu dan Sengkang/Wajo yang menampakkan ciri-ciri yang sama dengan rumah-rumah Bugis di Kampung Serkat, Pontian dan beberapa kampung di Muar.

Asiah memberitahu, antara lain tujuan tinjauan itu ialah untuk menjejaki latar sejarah, peranan dan pengaruh lima Daeng bersaudara di Johor dan jurai keturunan Sultan Johor yang bermula Daeng Temenggung Ibrahim.

Menurutnya, tinjauan itu juga bertujuan melihat perbandingan masyarakat Bugis Johor dengan Bugis Sulawesi daripada aspek pengekalan adat resam dan budaya mereka.

Katanya, tinjauan itu juga untuk mendokumentasi perkara berkaitan sejarah, adat, budaya dan kesenian masyarakat di wilayah itu yang kemudian didokumentasikan dengan menerbitkan buku Masyarakat Bugis Johor.

Tiada ulasan:

Mabbaca Al-Qur'an secara online. Ta klik iyewe : AL-QUR'AN
Beli Tafsir Al-Quran per kata.