Pengikut

Khamis, 1 Mei 2008

Berhati-hati (Akkari tutu ki')

Pernahkah saudara menerima email yang mengatakan saudara memenangi Lottery dari luar negara yang memberikan hadiah bernilai jutaan ringgit? Atau mungkin menerima tawaran bank transfer dari pegawai bank luar negara? Berhati-hati, jangan mudah tertipu.

Kalau dikira, saya adalah merupakan salah seorang yang terkaya di dunia. Apa tidaknya, hampir setiap bulan saya menerima tidak kurang dari 5 email yang mengatakan saya memenangi loteri dari British Lottery bernilai antara US$ 0.5 hingga US$1.5 juta. Ditambah pula dengan tawaran memindahkan sejumlah wang dari akaun orang kaya yang kononnya telah meninggal dunia dan tidak berwaris. Terbaru saya menerima email dari seorang yang menggelarkan dirinya Islamic Sister Kadja Lawal. Beliau kononnya seorang balu yang sangat kaya dan tinggal di Nigeria. Kini beliau mengidap cancer dan akan meninggal bila-bila masa. Menurutnya, beliau mempunyai simpanan harta bernilai US$5.5 juta. Wow, sungguh kaya...dan saya sekali lagi mendapat tawaran untuk menjadi 'waris'nya, kerana menurut beliau saya adalah pilihan yang paling tepat untuk menerima dan mewarisi harta peninggalannya dan suaminya.

Walaupun demikian, saya paparkan cerita ini bukanlah bermakna saya adalah mangsa dari penipuan ini, hanya ingin kongsikan cerita dan ingat mengingati. Saya merasa bersyukur kerana masih punya fikiran untuk tidak melayan semua bentuk email begini. Nah... beberapa hari yang lepas, kita telah mendengar dan mendapat berita tentang kegiatan penipuan melalui internet. Ramai yang telah menjadi mangsanya.

Banyak cara untuk mendapatkan pendapatan melalui internet yang sah lagi halal. Kini berpuluh puluh syarikat maya telah ditubuhkan untuk memberi peluang kepada orang ramai menceburkan diri dalam dunia keusahawanan. Saya sendiri tidak mahu ketinggalan dengan menyertai beberapa program tersebut. Namun untuk berjaya dan memperolehi keuntungan bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Semuanya perlukan usaha yang lebih. Lebih usaha maka lebihlah pulangan yang akan kita perolehi. Setakat ini alhamdulillah, semua yang saya sertai belum ada yang membawa kepada kerugian. Kerana setiap wang ringgit yang saya keluarkan, saya akan mendapat gantian barangan, yang menurut saya berbaloi. Bahkan ada yang benar-benar memberi manfaat kepada diri dan keluarga saya. Namun terus terang saya katakan bahawa belum ada yang saya jadikan sebagai punca utama pendapatan saya. Semuanya hanya sebagai 'side income' dan untuk kegunaan sendiri. Keuntungan saya ialah saya mendapat harga yang lebih murah berbanding orang lain yang tidak menyertai.

Fikir-fikirkanlah.

Kamus Melayu-Bugis:
Hati-hati (carefull) - karitutu, Kaya - sogi, harta - waramparang, suami - lakkai, isteri - baene, jual - balu', beli - welli, pendapatan - pallolongeng, untung - untung, rugi - rogi, mahal - masoli, murah - masempo, pindah - lette'

Tiada ulasan:

Mabbaca Al-Qur'an secara online. Ta klik iyewe : AL-QUR'AN
Beli Tafsir Al-Quran per kata.